22 Ogos 2011

: : Al-Quran Dan Puasa : :

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah kehadrat Allah swt kerana Allah swt masih memanjangkan umur sehingga ke 22 ramadhan. Moga diharapkan puasa selama 21 hari kita dapat mendekatkan diri dan meningkatkan lagi taqwa kepada Allah swt.

Suka saya kongsikan nukilan Ir Ahmad Jais Alias al-Syazili mengenai hubung kait di antara Al-Quran dan puasa.

Kita sering terfikir, bagaimana untuk menghayati dan mengamalkan Al-quran. Ramai saja hafiz dan hafizah atau sesiapa yang mempelajari Al-quran di luar sana masih lagi mempersoalkan bagaimana untuk menghayati dan mengamalkan Al-quran.

Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah A-li ‘Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”.

( Hadith Riwayat Muslim )

Tidak dinafikan bukan mudah untuk mengamalkan Al-quran. Perlu adanya mujahadah dan iltizam yang kuat.

Namun, bukan itu saja Allah swt telah menyatakan dalam Al-quran mengenai cara untuk menghayati dan mengamalkan Al-quran dengan mudah.

QS [2:183] Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.

^TAQWA^
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘taqwa’ ?

Maksud taqwa ialah menunaikan perkara yang diwajibkan oleh Allah swt serta meninggalkan perkara yang dilarang olehNya. Hamba Allah yang bertaqwa itu adalah mereka yang menunaikan kewajipan dan meninggalkan larangannya. Sekiranya mereka mati dalam keadaan tersebut nescaya mereka terpelihara dari azab neraka dan akan terus dimasukan ke dalam syurga.

Takwa ialah formula untuk kita mudah menghayati dan mengamalkan Al-quran. Ini disebabkan Allah swt telah berfirman dan Al-quran.

QS [2:2] Kitab (Al Qur'an) ini, tiada ada keraguan padanya,menjadi petunjuk(huda)kepada orang yang bertakwa.

-petunjuk(huda)kepada orang yang bertakwa- orang yang mendapat petunjuk(huda) daripada Allah swt akan sentiasa mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Sentiasa mencari jalan-jalan untuk melakukan kebaikan. Maka mereka akan mencari kebaikan-kebaikan yang ada di dalam Al-quran untuk diamalkan. Sungguh kreatif Allah swt. SubhanAllah...

Maka, cara untuk menghayati dan mengamalkan Al-quran ialah dengan berpuasa. Berpuasalah dengan sebenar-benar puasa sehingga melahirkan taqwa dalam diri kita. Jangan biarkan ramadhan yang berbaki 8 hari lagi pergi begitu saja tanpa sempat untuk kita mewujudkan taqwa dalam diri kita.

Wa'allahualam...

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

T.TaNgAn